Dakwat pen dan kematian kita







Semasa saya di sekolah rendah dahulu pernah ada satu musim kegilaan terhadap pen isian semula dakwat. Pen dakwat basah. Pernahkan anda mengisi dakwat ke dalam pen? Zaman telah banyak berubah..




Sebagai seorang guru tugasan rutin saya antaranya mengisi dakwat ke dalam whiteboard marker.Jika kita mengisi dakwat dengan warna merah..pastinya tulisan yang terhasil berwarna merah. Kalau kita menginginkan dakwat berwarna biru yang betul-betul biru kita hendaklah menggunakan marker pen yang berwarna biru sahaja. Tidak boleh dicampur aduk. Jika tidak warna tidak menarik dan bercampur.


Ini mengingatkan saya tentang detik kehidupan yang sangat singkat yang akhirnya dinoktahkan dengan kematian. Bukanlah noktah kerana hakikatnya ada kehidupan selepas kematian. Dan kehidupan selepas itulah yang abadi. Marker pen ialah diri kita dan dakwat pen ialah apa yang kita isi ke dalam diri kita.


Marilah kita membayangkan keadaan diri mereka yang mengungkapkan perkataan yang baik-baik. Mereka yang berusaha menjaga lisan mereka. Mereka yang menggunakan lisan untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Mereka yang sentiasa berdoa memohon ampun dan pertolongan Allah. Apakah perkataan yang bakal keluar di saat kematian mereka??Kalimah toyibah...Lailahaillallah. Begitulah ibaratnya jika kita mengisi kehidupan dengan kebaikan yang keluar pastinya kebaikan juga.


Sebaliknya jika seseorang manusia hanya mengikut nafsunya dan memilih untuk mengisi dirinya dengan perbuatan dan perkataan yang mungkar. Apakah keadaan di saat akhir kehidupannya?Moga dijauhkan Allah dari su'ul khatimah.


Kita tidak berdaya tetapi terdayakah kita mengangkat tangan dan merendahkan diri kepada Pencipta kita? Bermohonlah kepadaNya...dan kita tidak perlu langsung mengisi borang permohonan.


Marilah kita merenungi kalimat Tuhan kita yang dirakam
dalam Al Quran surah Ibrahim (23-27):


"Dan orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah salam. Tidakkah kamu memerhatikan bagaimanaa Allah telah mmbuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yg buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tegak sedikit pun. Allah meneguhkan(iman) orang-orang yg beriman dengan ucapan yang teguh (dalam kehidupan) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan
Allah berbuat apa yang Dia kehendaki"

Comments

Popular Posts