Selawat ke atas Nabi Junjungan

Apa itu selawat??

Secara umumnya selawat adalah jama' dari kalimat solat.

Di segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat.
Dalam pengertian lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.

Kelebihan atau keistimewaan selawat :

1. Allah swt dan malaikat pun berselawat ke atas Nabi

Firman Allah swt yang bermaksud. " Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya." ( Surah Al-Ahzab:56)


2. Perintah kepada orang beriman yang bertaqwa dan mencari keredhaan

Allah swt telah berfirman:"Sesungguhnya Allah swt beserta para malaikatNya sentiasa berselawat untuk Nabi Muhammad saw.Hai orang-orang yang beriman, bacalah selawat dan salam untuk Muhammad saw dengan bersungguh-sungguh."(Al-ahzab:56).

 Ayat tersebut memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya bersungguh-sungguh dalam menbaca selawat dan mendoakan keselamatan untuk Nabi Muhammad saw.Oleh kerana itu,orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada Allah dan rasulNya,haruslah mereka mentaati perintah tersebut dengan memperbanyakkan bacaan selawat dan salam untuk dipersembahkan kepada junjungan dan ikutan kita Nabi Muhammad saw.

3. Memperoleh ganjaran yang tidak ternilai.

Hal ini disyariatkan oleh Nabi Muhammad saw sendiri dalam sabdanya: "Barangsiapa berselawat ke atasku satu kali,nescaya Allah swt akan melimpahkan rahmat keatasnya sepuluh kali ganda".(HR Muslim)



Selawat dan salam yang dilimpahkan oleh Allah swt kepada Nabi saw adalah berupa rahmat,kasih sayang dan pengampunan. Sedangkan selawat yang dipersembahkan oleh para malaikat dan orang yang beriman adalah berupa doa dan permohonan kepada Allah swt agar Dia berkenan melimpahkan selawat(rahmat) dan salam(keselamatan dan kesejahteraan) kepada Nabi Muhammad saw.Allah swt sentiasa berselawat kepada Muhammad saw,bererti Dia sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada Baginda.

4. Menzahirkan cinta pada Allah dan RasulNya

Nabi Muhammad saw ada bersabda:"Barangsiapa yang mencintai sesuatu,nescaya dia banyak menyebut-nyebut yang dicintainya".(HR Dailami)

Sesungguhnya Baginda tidak memerlukan selawat dan salam dari kita,sama sekali tidak memerlukannya! Lalu mengapa kita diperintahkan untuk membaca selawat dan salam untuk Baginda? Itulah salah satu perintah Allah swt untuk membuktikan siapa sesungguhnya di antara kita yang benar-benar mentaati perintahNya.Juga untuk melihat sejauh mana kecintaan kita kepada RasulNya.

5. Mendapat kedudukan yang mulia di sisi RasulNya pada hari kiamat
.
 Nabi Muhammad saw ada bersabda:"Sesungguhnya manusia yang paling utama disisiku pada hari kiamat kelak adalah yang paling banyak membaca selawat".(HR Nasai,Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Sabdanya juga " Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari khiamat." (Riwayat Tabrani).


Hari Kiamat merupakan hari yang penentuan kejayaan kita.  Sesiapa yang banyak berselawat akan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Baginda.

6. Ummatnya yang mendapat manfaat atas selawat mereka.

Nabi Muhammad saw merupakan manusia yang maksum dan dimuliakan Allah swt. Baginda merupakan kekasih Allah. Baginda dilimpahi kasih sayang dan rahmat malahan kesejahteraan Allah swt. Nabi Muhammad saw umpama bejana yang dipenuhi kesejahteraan. Apabila kita berselawat ke atasnya seolah-olah kita menuangkan air kepada bejana yang penuh. Oleh itu kesejahteraan akan melimpah dan dirasai oleh mereka yang berselawat ke atas baginda.

Kita umatnya yang tidak pernah menatap wajahnya...tetapi kita sentiasa dihati Nabi Muhammad saw. Kita dicintainya sepenuh hati.. kita disebutnya meski sedang berada di ambang kematian. Ummati..ummati..ummati..  disebutnya ulangkali. Betapa dia mencintai kita. Beruntungnya kita. Marilah kita mengajak diri yang sering leka ini untuk mengingati Junjungan tercinta dengan berselawat ke atasnya




Comments

Popular Posts