Wahai anakku,
Janganlah engkau gopoh gapah semasa mendirikan solat, kerana dihadapanmu adalah Tuhanmu, bukan kawanmu. Engkau sedang berbicara dengan Allah Yang Maha Agung, tentulah tidak layak engkau bersikap demikian.

Wahai anakku,
Jangan engkau hanya fikir untuk selesai solahmu, tanpa engkau memikirkan Tuhanmu menerima atau menolak solah itu. Jangan sesekali engkau hanya mengira soal sah dan ba
tal, tanpa engkau mengira soal ianya diterima atau ditolak.

Wahai anakku,
Kalau engkau kasih dan cinta kepada Tuhanmu, tentulah engkau akan lama bersamanya dalam solah, doa, munajat dan zikirmu. Kalau engkau merasai tiada manusia sanggup gopoh gapah dihadapan seorang raja, kerana menghormatinya atau memuliakannya; betapa pula engkau bilamana berhadapan dengan Tuhanmu.

Wahai anakku,
Ketahuilah bahawa solah adalah amalan pertama dihitung di akhirat. Apakah perasaanmu kalau engkau melihat solahmu yang tidak memelihara tertib dan adabnya, tentulah engkau akan merasa malu dan aib dihadapanNya. Engkau sendiri pun akan mencemuh amalan sambil lewamu. Kerana itu bezakanlah ketika mana kamu berdiri dihadapan manusia dengan saat kamu berdiri dihadapan Tuhanmu.

Wahai anakku,
Lakukanlah dengan sebaiknya, kerana solah mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ia adalah perisai. Ia adalah tunjang kekuatan. Lakukan dengan tenang, nescaya kamu akan merasai kemanisan ibadahmu.

Wahai anakku,
Saat paling hampir manusia dengan Tuhannya ialah waktu sujud. Maka ambil kesempatan untuk memohon apa yang kamu inginkan. Lamakan sedikit saat sujudmu, engkau akan merasai kemanisannya.

Wahai anankku,
Disaat engkau sujud iblis menangis dan akan lari darimu. iblis engan sujud menyebabkan ia jadi kafir dan durhaka kepada Tuhannya. Kerana itu wahai anakku. Sempurnakan sujudmu dan sedari bahawa kamu sedang sujud kepada Allah yang Maha Agong. Pohonlah keampunan dan kasihsayang Allah di saat itu, nescaya Allah akan memeliharamu diwaktu tiada manusia mampu memeliharamu. Kamu tidak akan berdukacita, di saata mana manusia yang durhaka berdukacita.

Semoga Allah menerima amalan kita, kerana ia tanda ketaatan kita kepadaNya. Ya Allah, terimalah amalan yang sedikit ini, dan terimalah amalan yang tidak sempurna ini, dan ampuni kami atas kecuaian kami selama ini. Amin.

Senyum selalu "

Fajr Prayer at Gaza Strip November 2012
Oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Comments

Popular Posts