Jom jalan-jalan

Jalan-jalan

Masa zaman budak-budak dulu ( umur 6 thn lebih kurang)...saya sangat menunggu moment bapa saya balik kerja. Sebab setiap petang ayahda tercinta saya akan membawa saya berjalan-jalan sekeliling kampung. Tanpa dipaksa atau disuruh-suruh oleh ibu, saya bersiap mandi dan bedak wangi-wangi sambil menunggu bapa  pulang dari kerja lebih kurang pukul 5 petang.
 Sesuatu yang agak pelik sebab dari kejauhan saya boleh mendengar bunyi motornya.... Honda 70 kalau tak silap saya. Sedangkan waktu tu banyak je motor jiran tetangga yang lalu lalang. Bila difikirkan mungkin deria dengar  saya  telah digunakan semaksima mungkin. 

Apabila bapa saya pulang, saya akan membonceng dibelakang  motosikal bapa  manakala adik saya yang ketika itu berumur 2 tahun lebih didudukkan di dalam bakul motor. Tak banyak yang dibualkan. Tapi saya benar-benar menikmati suasana petang. Angin segar yang berhembus menerpa muka sedang cahaya mentari redup petang yang menyinar hati saya,
Habis  pusing kampung sendiri bapa saya akan membelok ke kampung sebelah. Saya yang membonceng di belakang  menikmati pemandangan yang pelbagai. Di sepanjang jalan saya menyaksikan rimbunan pohon  buah-buahan atau  pokok hiasan. Saya juga menjadi pemerhati  aktiviti masyarakat yang berbagai-bagai..bermain bola di padang, berbual di kedai kopi, pakcik-pakcik tua di masjid, kanak-kanak riang berlarian di padang permainan atau  kaum wanita membersihkan laman sambil membuat pembakaran terbuka 
Nursery Bunga di Kampung saya....(kredit)


Sehingga kini tatkala umur saya kian meningkat dan terus meningkat, memori jalan-jalan bersama bapa saya masih segar diingatan. Antara perkara yang saya lalui di zaman kanak-kanak ialah kesukaran untuk mengikuti aktiviti lawatan sekolah.Bapa saya mempunyai pandangan yang agak rigid untuk membenarkan anak-anak perempuannya berjalan-jalan tanpa  pemantauan ibubapa.Walaupun saya menjadi budak yang tidak pernah dapat menyertai lawatan sekolah tapi saya ok. Sebab tiap-tiap petang bapa saya akan mengajak saya jalan-jalan menaiki motornya. Sedari darjah 1 hingga darjah 4,saya dan adik lelaki  dapat beraktiviti seperti itu sehinggalah kemudiannya saya perlu berundur memberi tempat kepada adik ke 3 yang sudah agak besar. 

Ya..jalan-jalan ini merupakan satu bentuk pendidikan  tidak langsung. Meskipun bapa saya tidak banyak berbual ketika jalan-jalan, tapi lenggok dan bahasa badannya memberi suatu ajaran dan didikan yang membekas. Saya menghormatinya sebagai bapa dan faham kehendak dan keputusannya walaupun tanpa disuarakan. Saya memahami aspirasinya terhadap saya untuk menjadi anak dan kakak yang menjadi contoh kepada adik-adik. Sekiranya saya tidak mendapat sesuatu yang saya ingini saya menerimanya dengan hati yang terbuka (time tu nangis jugaklah..). Saya tahu bahawa bapa saya berusaha memperuntukkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anaknya meskipun sibuk mencari nafkah.Mungkin perasaan saya untuk mendapat perhatian dari seorang bapa telah dipenuhi apabila saya di bawa berjalan-jalan setiap petang oleh bapa saya. Lantaran itu saya tidak memberontak apabila saya tidak dapat apa yang dihajati.

Bagi bapa-bapa yang sibuk sehingga tiada kecukupan masa atau bapa yang konservetif atau bapa yang tidak cukup modal melancong ke sana sini....peruntukkanlah sedikit masa untuk berjalan-jalan bersama anak-anak anda. Mungkin dengan hanya berjalan di hadapan rumah atau berjalan ke kedai atau ke surau berdekatan adalah memadai untuk menunjukkan keperihatinan anda.



Al Ankabut:20.
 Katakanlah: "Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu

Al An'am11. 
Katakanlah: "Berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu."

Al Mulk :15.
 Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.

Al Naml: 69.
 Katakanlah: "Berjalanlah kamu (di muka) bumi, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.



Comments

Popular Posts